Seorang wanita yang masih berstatus isteri dicekup khalwat bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Serom, Sungai Mati dekat sini, semalam.
Ketika ditahan kira-kira jam 1.20 pagi oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, anak kedua wanita terbabit yang berusia lingkungan dua tahun turut berada di rumah berkenaan.
Pada awalnya, pasangan itu cuba menyembunyikan hubungan mereka tetapi akhirnya mengaku mereka adalah pasangan kekasih selepas disoal siasat oleh pihak penguat kuasa.
Wanita berusia 31 tahun itu mendakwa dalam proses bercerai dengan suaminya selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
“Tetapi kami sudah berpisah sejak dua tahun lalu kerana tiada persefahaman dan sehingga kini, saya tidak tahu di mana suami berada.
“Ini menyebabkan proses perceraian kami tertangguh begitu sahaja,” katanya.Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa agama datang memeriksa rumah berkenaan.
Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki tidak berbaju dan hanya berseluar panjang membuka pintu.
“Pihak penguat kuasa hanya menunggu kurang lima minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.
“Selain lelaki yang membuka pintu, pemeriksaan lanjut menemui dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki dalam rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, wanita berusia 21 tahun yang merupakan adik kepada lelaki terlibat turut ditahan kerana bersubahat.
“Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
ANDA MAHU LETAK IKLAN ANDA DISINI. CONTACT US !!!