Karier dan kontroversi buat pelakon dan pengacara, Neelofa bergerak seiring sejak di awal kemunculannya dalam bidang seni. Bagaimanapun, kontroversi itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus mengharungi sepak terajang industri ini.
Bermula dengan gosip cinta bersama VIP, seterusnya pelakon filem Azura ini dikaitkan dengan hero filem sama, Shahz Jaszle sehingga menjadi punca perpisahan aktor itu dengan bekas kekasihnya, Maria Farida.
Malah Neelofa turut dikaitkan dengan pelakon Tahajjud Cinta, Fazura yang mendakwa Neelofa cuba untuk merampas kekasihnya.
Tidak memandang perkara itu sebagai masalah besar, pemenang Dewi Remaja 2010/2011 yang lebih mesra disapa Lofa ini tidak menafikan bahawa kontroversi yang timbul sedikit sebanyak menaikkan namanya dalam industri hiburan.
“Saya mengakui perkara itu, tetapi tidak bersetuju jika ada yang mengatakan saya hanya bersandarkan pada kontroversi semata-mata. Bagi saya, kontroversi ini ada buruk baiknya bergantung kepada artis itu.
“Untuk berada lebih lama dalam industri, bakat perlu ada. Kontroversi yang melanda hanya sementara sahaja. Jadi, saya tidak mahu berada di dalam kelompok yang mengharapkan kontroversi sahaja.
“Saya berharap masyarakat menilai saya melalui bakat yang saya ada. Berikan ruang untuk saya mempamerkan kebolehan yang saya ada, jangan nilai saya berdasarkan desas-desus yang timbul tanpa sahih itu,” katanya yang kini bakal menjalani penggambaran drama terbaru arahan Eirma Fatima, Dejavu Di Kinabalu
Minat nona sejak dari kecil lagi. Lebih manis lagi, lembaran 2012 menjadi tahun bertuah buat Lofa kerana dipilih mengacarakan program Nona di saluran TV3, bersama penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana.
Akui Lofa, tawaran hebat seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana selain menguji pengetahuannya mengenai selok-belok dunia pengacara, Nona juga rancangan diminatinya sebelum ini.
“Saya memang minat rancangan Nona sejak saya di bangku sekolah lagi. Ketika itu, pengacaranya ialah Normala Shamsudin dan saya tidak pernah menyangka, saya berpeluang berada di posisi Normala. Saya sangat teruja.
“Nona memberi seribu satu pengalaman untuk saya. Banyak pengalaman baru yang ditimba. Menerusi Nona, saya dapat kenal ramai orang dari pelbagai golongan. Banyak perubahan dan penambahbaikan yang telah saya lalukan seperti mengubah cara percakapan saya yang dikatakan lebih laju.
“Walaupun masih baru, saya yakin, Nona dapat membantu saya untuk membina semangat kepada diri sendiri untuk lebih berjaya dan menghargai kehidupan kita,” katanya yang berharap agar karier seninya berjalan lebih lancar tahun ini.
Selain bakal muncul dalam filem karya Aziz M Osman, Azura, Februari ini, Lofa turut menerima tawaran menjadi duta produk barangan kosmetik dan perhiasan wanita, Avon.
Menurut Lofa, kontrak selama setahun telah ditandatangani pada Disember lalu dan bakal dilancarkan 18 Januari ini.
“Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk mempromosikan produk Avon. Saya bersetuju untuk jadi duta Avon kerana produk ini terbukti bagus dan bukan hanya untuk wanita berusia sahaja, malah sesuai untuk wajah muda.
“Saya rasa gagal menjadi duta sekiranya saya tidak membuktikan hasil produk tersebut. Jadi, objektif saya sebagai duta adalah untuk menarik minat golongan remaja untuk mencuba produk ini.
“Pemilihan saya sebagai duta Avon kerana pihak Avon mahu saya membawa jenama ini mengikut cara tersendiri,” katanya yang bakal muncul menerusi filem Lemak Kampung Santan, Taiko dan SAM.